fb fb fb fb fb

Kanak-kanak Palestin dibawa ke Jordan untuk rawatan

Tentera Jordan bersama kanak-kanak yang telah dipindahkan dari Gaza tiba dengan helikopter tentera Jordan di perkarangan hospital di Amman/ AFP

AMMAN, 5 Mac- Kumpulan pertama kanak-kanak Palestin yang memerlukan rawatan perubatan telah dibawa ke Jordan, menerusi pelan yang telah dibentangkan oleh Raja Abdullah II kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bulan lepas.

Gambar yang disiarkan oleh saluran TV Al-Mamlaka menunjukkan helikopter tentera Jordan tiba di lapangan terbang tentera di Amman membawa empat kanak-kanak yang cedera bersama keluarga mereka.

Kanak-kanak tersebut, dua daripadanya mengalami amputasi, dibawa ke hospital sebaik tiba.

Jurucakap kerajaan Mohammad Momani memberitahu sidang media bahawa kumpulan pertama kanak-kanak Gaza yang mengalami pelbagai penyakit telah mula tiba.

Mohammad berkata itu adalah permulaan bagi melaksanakan inisiatif yang dibincangkan oleh Raja Abdullah II di Washington.

Dalam lawatannya ke White House bulan lalu, Raja Abdullah II menyatakan kepada Trump bahawa salah satu perkara yang boleh dilakukan dengan segera adalah membawa 2,000 kanak-kanak dan kanak-kanak pesakit kanser yang berada dalam keadaan kritikal.

Selasa lalu, seramai 29 kanak-kanak lagi bersama 44 orang dewasa dibawa masuk ke Jordan melalui jalan darat, menurut jurucakap tentera.

Ambulans yang membawa kumpulan kanak-kanak itu memasuki negara itu melalui persimpangan Jambatan Raja Hussein, juga dikenali sebagai persimpangan Jambatan Allenby, antara Tebing Barat yang diduduki Israel dan Jordan.

Ahmad Shehada, 13 tahun, memberitahu AFP bahawa dia bersemangat untuk "mengembalikan kehidupan" selepas mengalami kecederaan serius.

Shehada kehilangan satu tangan dan pergi ke Jordan untuk mendapatkan rawatan di negara itu.

Konflik Israel-Palestin telah meragut puluhan ribu nyawa dan lebih 100,000 orang cedera, menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas.-AFP

ROSLINA BINTI DIN