fb fb fb fb fb

Wanita Uganda, 70 tahun, lahirkan bayi kembar

Safina Namukwaya/FB Women's Hospital International and Fertility Centre

KAMPALA, 1 Disember- Seorang wanita Uganda berusia 70 tahun selamat melahirkan bayi kembar lelaki dan perempuan di Women's Hospital International and Fertility Centre di sini pada Rabu.

Doktor Edward Tamale Sali yang mengawasi kehamilan dan proses bersalin wanita itu, Safina Namukwaya menganggap peristiwa tersebut satu keajaiban.

“Ini adalah pencapaian luar biasa, melahirkan anak kembar kepada ibu tertua di Afrika pada usia 70 tahun," katanya.

Beliau berkata, Namukwaya masih dalam jagaan di kemudahan berkenaan dan berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, Namukwaya turut berkongsi kegembiraan melahirkan bayi kembar pada usia emas melalui rawatan kesuburan.

"Tiada cara untuk menyatakan kegembiraan saya pada masa ini. Pada usia 70 tahun apabila saya dianggap lemah, tidak dapat hamil dan melahirkan, atau menjaga bayi, dan inilah keajaiban kembar itu," katanya melalui telefon.

Namukwaya berkongsi kisah bahawa selama ini dia diejek sebagai 'wanita terkutuk' kerana gagal melahirkan anak sehinggalah dia kurniakan bayi perempuan pada 2020 ketika usianya 67 tahun.

Tambah wanita itu, suami pertamanya meninggal dunia pada tahun 1992 tanpa zuriat sebelum bertemu pasangannya sekarang pada 1996.

Dalam kegembiraan tersebut, Namukwaya turut menyuarakan kekecewaan kerana pasangannya masih tidak datang melawat sejak dia dimasukkan ke hospital untuk bersalin.

"Mungkin dia tidak gembira saya melahirkan anak kembar kerana takut dengan tanggungjawab yang akan ditanggungnya," ujarnya lagi. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA