fb fb fb fb fb

Virus Marburg berupaya jadi masalah kesihatan global

Foto REUTERS

KIGALI, 8 Oktober-Menteri Kesihatan Rwanda, Sabin Nsanzimana memberi amaran bahawa wabak virus Marburg (MVD) yang membawa maut di Rwanda boleh menjadi 'masalah global' ketika bercakap di sini pada Ahad.

Kenyataan tersebut dibuat ketika kerajaan negara itu cuba mempercepatkan pengedaran vaksin untuk golongan terkesan.

"Kami percaya bahawa wabak ini bukanlah isu nasional. Ia adalah masalah dan kebimbangan global," kata Nsanzimana kepada wartawan.

"Kita perlu bekerjasama dengan rakan-rakan dan rakan sekerja kita untuk memastikan tiada wabak yang memasuki Rwanda dari tempat lain dan tiada wabak yang keluar dari Rwanda ke negara lain."

Nsanzimana berkata bahawa vaksinasi akan dimulakan serta-merta' dengan kempen yang memberi tumpuan terutamanya kepada pekerja kesihatan barisan hadapan.

"Malangnya, setakat ini kami telah kehilangan 12 orang. Kebanyakan kes dan kematian baharu adalah dalam kalangan pekerja kesihatan, khususnya di dua hospital di mana virus ini mula-mula dikesan," tambahnya.

Nsanzimana mengumumkan bahawa 51 kes Marburg telah dikesan di Rwanda sejak permulaan wabak bulan lalu.

"Hari ini sudah seminggu lebih sejak kami mengesahkan kes pertama penyakit virus Marburg di Rwanda," kata menteri itu,

"Kami mempunyai 46 kes Marburg yang disahkan, ditambah lima kes baharu yang kami maklumkan pada Ahad.

"Ini adalah virus yang sangat agresif. Seperti yang saya katakan sebelum ini, apabila anda dijangkiti, ia akan memasuki sistem badan, dan replikasi virus berlaku dengan sangat pantas, jadi pengesanan awal adalah amat penting," tambah Nsanzimana.

Beliau juga mengesahkan bahawa lima orang telah sembuh selepas dijangkiti penyakit tersebut, dan lebih ramai lagi dijangka sembuh dalam beberapa jam akan datang.

Kerajaan Rwanda mengesahkan laporan mengenai wabak Marburg pada akhir bulan lalu dan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk mengekang penularan, termasuk larangan lawatan ke hospital dan menghadkan perhimpunan.

Pihak berkuasa telah mengedarkan kira-kira 700 dos dalam kempen vaksinasi awal yang bermula pada Ahad.

MVD adalah daripada keluarga yang sama dengan virus yang menyebabkan Ebola dan mempunyai kadar kematian sebanyak 88 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pesakit yang dijangkiti akan mengalami gejala pendarahan teruk dalam tempoh tujuh hari selepas dijangkiti virus, termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah, dan cirit-birit.-IVORY

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD