fb fb fb fb fb

Melukis selama 100 jam tanpa henti, pelukis Guatemala pecah rekod peribadi

Pelukis Guatemala, Jose Molina Salazar memecah rekod peribadi apabila melukis tanpa henti selama 100 jam/Foto IVORY

QUETZALTENANGO, 8 Oktober-Seorang Pelukis Guatemala, Jose Molina Salazar, memecahkan rekod sendiri untuk menyiapkan lukisan terpanjang selepas mengambil masa kira-kira 100 jam melukis tanpa henti di sini pada Sabtu.

Rakaman video menunjukkan artis tersebut melukis menggunakan teknik Sumi-e di jam-jam terakhir cabaran berkenaan di Pusat Kebudayaan bandar tersebut.

Para penyokong dilihat bersorak memberi semangat kepada artis tersebut dan memerhatikan hasil kerjanya, manakala yang lain dilihat melihat lakaran yang telah disiapkan.

Walaupun langkah telah diambil untuk mengurangkan keletihan fizikal semasa cabaran itu, seperti rehat selama 20 minit setiap empat jam pertandingan, Salazar kemudiannya dibawa ke hospital oleh pasukan ambulans.

"Saya mengalami halusinasi, saya rasa mual, kepala saya sakit, dan hilang rasa orientasi ruang sedikit.

"Saya rasa saya tidak akan mampu pulang ke rumah sekarang," kata pelukis itu selepas memecahkan rekodnya.

"Saya teruja dan sangat letih," tambahnya.

"Sudah lima hari tanpa tidur, walau bagaimanapun, seperti biasa untuk aktiviti-aktiviti ini, saya sangat bersyukur kepada mereka yang telah menyokong saya, kepada institusi yang juga menyokong saya."

Menurut artis residen di Pusat Kebudayaan Quetzaltenango, Brayan Castro, maraton lukisan Salazar juga menunjukkan bagaimana masyarakat awam melihat seni.

"Saya telah lama melakukan aktiviti ini, tetapi nampaknya hanya apabila ia dibingkaikan dalam konteks rekod bertaraf dunia, barulah orang ramai mula menganggapnya menarik," jelasnya.

Seorang penyokong, Rosangela Morales, memuji teknik unik Salazar yang melukis menggunakan tangan dan bukannya berus atau alatan lain.

"Dia berusaha untuk menunjukkan seninya, terutamanya dengan tangannya, dan inilah perkara yang paling indah mengenainya," jelasnya.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang berharga, dan dia sentiasa mempunyai cinta yang mendalam terhadap seni."

Jose Molina Salazar dilaporkan telah memecahkan rekod sebelumnya pada Ogos 2023, selepas beliau melukis selama 80 jam, menyiapkan sejumlah 31 lukisan.-IVORY

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD