fb fb fb fb fb

Kiribati kritik tindakan China lancar peluru berpandu balistik antara benua

Foto REUTERS

SYDNEY, 8 Oktober-Kiribati, telah mengkritik tindakan China pelancaran peluru berpandu balistik antara benua bulan lalu, dan menyatakan bahawa Pasifik bukanlah "kantung laut yang terpencil".

Kiribati, jiran lautan Pasifik kepada Hawaii dengan Zon Ekonomi Eksklusif yang luas berkeluasan 3.6 juta kilometer persegi (1.4 juta batu persegi), telah membina hubungan rapat dengan Beijing dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk menjadi tuan rumah kepada pasukan polis China.

Terdahulu pada bulan lepas, China telah menjalankan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dengan kepala peledak palsu yang mendarat di Lautan Pasifik.

Menurut Beijing, ia adalah untuk ujian persenjataan dan latihan.

Beberapa negara termasuk Fiji, Australia dan New Zealand telah menyatakan kebimbangan terhadap pelancaran tersebut.

Kiribati tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada China berkaitan pelancaran peluru berpandu itu.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Kiribati di media sosial. Ia diberitahu oleh Kedutaan China bahawa tiada keperluan untuk memaklumkan kepada kerajaan Kiribati kerana ujian itu tidak bertujuan untuk menyasarkan mana-mana negara di Pasifik, tambah kenyataan itu.

“Kiribati tidak menyambut baik ujian ICBM terkini oleh China,” kata kenyataan tersebut.

Ia juga mengkritik negara-negara lain yang tidak dinamakan kerana ujian senjata mereka pada masa lalu.

“Laut lepas di Pasifik bukanlah kantung laut yang terpencil, ia adalah sebahagian daripada Benua Biru Pasifik kami dan merupakan sebahagian daripada Kiribati.

"Oleh itu, kami merayu kepada semua negara yang terlibat dalam ujian senjata untuk menghentikan tindakan ini demi mengekalkan keamanan dan kestabilan dunia,” tambah kenyataan tersebut.

18 ahli Forum Kepulauan Pasifik, mengisytiharkan rantau berkenaan sebagai zon bebas nuklear.

Persaingan strategik antara China dan Amerika Syarikat di rantau itu meningkat selepas Beijing memeterai perjanjian keselamatan dengan Kepulauan Solomon pada tahun 2022.

China, yang berusaha untuk membangunkan semula landasan udara Perang Dunia Kedua Amerika Syarikat yang tidak digunakan di Kiribati, telah menjadi rakan pembangunan utama negara itu tersebut sejak ia menukar hubungan diplomatik daripada Taiwan pada 2019.

Kiribati akan mengadakan pemilihan presiden secara langsung bulan ini, di mana keempat-empat calon adalah dari Parti Tobwaan Kiribati yang diketuai oleh Presiden sedia ada, Taneti Maamau.

Ketua pembangkang, Tessie Lambourne, sebelum ini mengkritik hubungan rapat Maamau dengan China serta ketiadaan calon pembangkang dalam pemilihan presiden.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD