GAZA, 8 Oktober-Hezbollah melancarkan serangan roket ke bandar ketiga terbesar Israel, Haifa, sementara Israel dilihat bersedia untuk memperluaskan serangan ke Lubnan pada Isnin, setahun selepas perang Gaza bermula.
Hezbollah yang disokong Iran, berkata mereka menyasarkan pangkalan tentera di selatan Haifa dengan peluru berpandu "Fadi 1" dan melancarkan serangan lain ke atas Tiberias, kira-kira 65 kilometer (km).
Kumpulan pejuang itu berkata ia turut menyasarkan kawasan di utara Haifa dengan peluru berpandu.
Tentera Israel berkata kira-kira 190 roket telah memasuki wilayah Israel pada Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 kecederaan.
Sementara itu, Tentera Israel menyatakan bahawa pasukan udaranya sedang menjalankan pengeboman secara besar-besaran ke atas Hezbollah di selatan Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan puluhan kematian, termasuk 10 anggota bomba yang terbunuh dalam serangan udara terhadap bangunan majlis perbandaran di kawasan sempadan.
Kira-kira 2,000 rakyat Lubnan terbunuh sejak Hezbollah memulakan serangan setahun lalu sebagai solidariti terhadap Hamas, dengan kebanyakannya terbunuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Isnin, Israel melancarkan serangan udara ke atas 120 sasaran di selatan Lubnan dalam tempoh satu jam, termasuk ke atas unit pasukan khas Radwan, pasukan peluru berpandu Hezbollah, dan perisikan kumpulan itu.
"Operasi tersebut menyusul beberapa siri serangan yang bertujuan untuk melemahkan keupayaan Hezbollah, serta membantu pasukan darat Israel mencapai matlamat operasi mereka," kata tentera dalam satu kenyataan.
Serangan udara Israel telah menyebabkan 1.2 juta orang hilang tempat tinggal di Lubnan, dan kempen pengeboman yang semakin hebat oleh Israel telah menyebabkan ramai rakyat Lubnan bimbang bahawa negara mereka akan mengalami kemusnahan besar-besaran seperti yang dialami Gaza.
Konflik yang semakin memuncak telah menimbulkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat dan Iran bakal terheret ke dalam perang yang lebih besar di rantau Asia Barat.
Sebelum ini,Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel pada 1 Oktober lalu menyebabkan Israel menyatakan bahawa ia akan membalas dendam dan sedang menimbang pilihan serangan.
Israel mungkin menyasarkan kemudahan minyak Iran sebagai sasaran utama.-REUTERS