HANOI, 18 Februari- Vietnam akan mengurangkan satu daripada lima pekerjaan sektor awam serta memotong berbilion dolar daripada belanjawan kerajaan.
Ini selepas parlimen negara itu meluluskan langkah penstrukturan semula secara besar-besaran pada Selasa.
Menurut kenyataan di laman web parlimen, Perhimpunan Kebangsaan telah mengundi untuk meluluskan struktur organisasi baharu kerajaan.
Reformasi itu disifatkan sebagai "satu revolusi" oleh pegawai kanan kerajaan, mencerminkan usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara drastik.
Langkah tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana pekerjaan sektor awam di Vietnam selama ini dianggap sebagai pekerjaan seumur hidup.
Sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula, jumlah kementerian dan agensi kerajaan akan dikurangkan daripada 30 kepada 22.
Antara kementerian yang dimansuhkan ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perancangan dan Pelaburan, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Buruh.
Sektor media, perkhidmatan awam, pasukan polis dan ketenteraan juga akan berdepan pengurangan kakitangan.
Menurut data kerajaan, hampir dua juta individu bekerja dalam sektor awam, setakat 2022.
Namun, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan angka sebenar jauh lebih tinggi.
Itu sebagai sebahagian daripada rancangan lima tahun ini, Vietnam akan mengurangkan 20 peratus daripada jumlah pekerjaan sektor awam.- AFP