BANGKOK, 18 Februari- Polis Thailand telah menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa dengan menahan 10 suspek termasuk warga China, menurut pegawai pada Selasa.
Biro Penyiasatan Pusat Thailand menangkap kesemua suspek atas tuduhan "penipuan, penipuan siber dan bersubahat dalam pengubahan wang haram", dengan nilai mencecah $187 juta.
Selain itu, pihak berkuasa Thailand itu giat memburu 22 lagi individu yang dipercayai terdiri daripada warga Thailand, China dan Korea.
Tindakan itu dilakukan ketika Thailand giat membanteras pusat-pusat penipuan dalam talian yang berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan Kemboja yang tidak terkawal.
Pusat-pusat penipuan tersebut dikendalikan oleh warga asing, kebanyakannya dari China.
Mereka juga adalah mangsa terhadap pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja menipu rakan senegara untuk dijadikan sasaran seterusnya.
Industri gelap itu dianggarkan meraih nilai berbilion dolar setiap tahun.
Pegawai penyiasat, Supadech Thanachaisiri, memberitahu AFP bahawa kumpulan tersebut telah menipu mangsa sebanyak $187 juta dalam bentuk mata wang kripto.
"Sindiket ini mempunyai kaitan dengan pusat penipuan di seberang sempadan, tetapi kami masih menyiasat sama ada ia beroperasi di Myanmar atau Kemboja," kata Suradech.
Menurut polis, suspek menjerat mangsa melalui tawaran pekerjaan palsu dalam talian sebelum memperdaya mereka untuk melaburkan wang dalam jumlah besar dengan janji pulangan sebanyak 30 hingga 50 peratus.
Daripada jumlah keseluruhan $187 juta yang diperoleh secara haram, kira-kira separuh telah ditukar kepada baht Thailand, manakala selebihnya dilaburkan dalam sektor hartanah.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa telah merampas wang tunai, jam tangan mewah dan kereta bernilai tinggi.
Minggu lalu, polis negara itu berjanji untuk memperhebat usaha membanteras sindiket penipuan rentas sempadan.
Kerajaan Thailand pada Februari telah memotong bekalan elektrik ke lima lokasi di Myanmar yang disyaki menjadi pusat operasi penipuan dalam talian.- AFP