SCHMITTEN, 20 November - Jerman sedang mengalami permulaan musim sejuk luar biasa dengan keadaan fros dan salji, menurut pakar cuaca Karsten Brandt. Suhu dijangka menjunam di bawah paras beku susulan kemasukan udara kutub.
"Ini benar-benar satu letusan udara Artik dan ia tidak mungkin menjadi lebih sejuk daripada sekarang, sebab itulah suhu merekodkan penurunan.
"Kita sedang berdepan sistem tekanan rendah ‘Talat’ yang membawa udara sejuk ke Eropah dengan tiupan angin kencang, menyebabkan suhu merosot dengan ketara. Ini bermakna malam ini, saya jangkakan antara 10 hingga 15 sentimeter salji baharu akan turun di kawasan pergunungan rendah," kata Brandt.
Cuaca sejuk semasa dijangka mengekalkan keadaan beku sepanjang November, walaupun cuaca sedikit sederhana mungkin berlaku pada awal minggu hadapan. Namun, beliau memberi amaran bahawa udara panas tidak mungkin menguasai keadaan.
"Tidak mustahil kita akan kembali berdepan fros dan salji minggu depan, dan ia boleh meliputi seluruh Jerman.
"Berhati-hati di lebuh raya, sebagai contoh A3 menuju ke selatan ke arah Frankfurt, Westerwald, Taunus, yang berdepan masalah besar; juga A61 dan beberapa lebuh raya utama kerana salji sedang turun dengan lebat, ramai pemandu masih menggunakan tayar musim panas atau terkejut dengan perubahan cuaca musim sejuk malam ini," katanya.
Model cuaca ketika ini meramalkan keadaan musim sejuk yang berterusan sehingga akhir November dan awal Disember, menandakan permulaan yang dingin menuju minggu-minggu terakhir tahun ini.
Beliau turut menambah bahawa perubahan mendadak dalam corak udara memberi kesan besar kepada suhu.
"Pagi Sabtu di Jerman akan mencatat suhu sehingga negatif 10 darjah Celsius di beberapa tempat. Jumaat pula sudah menunjukkan bacaan antara negatif 6 hingga negatif 9 darjah, dan bukan hanya di kawasan pergunungan rendah tetapi di beberapa kawasan pinggir Cologne mencatat negatif 8 darjah pada awal pagi.
"Kita bercakap tentang negatif 10 darjah di Hanover pada pagi Sabtu jika terdapat lapisan salji. Hamburg pula mencatat sekitar negatif 6 darjah di kawasan sekitarnya, yang dianggap sangat sejuk bagi bulan November," katanya.- REUTERS