fb fb fb fb fb

Tesla lebarkan sayap ke India, Musk perkenal Starlink

Pengasas Tesla, Elon Musk (kiri) dan Perdana Menteri India, Narendra Modi/Foto X

MUMBAI, 18 Februari- Pembuat kenderaan elektrik Tesla telah mula mengambil pekerja di India, hanya beberapa hari selepas pertemuan antara penasihat utama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Syarikat milik jutawan Elon Musk itu mengiklankan lebih daripada belasan jawatan di laman webnya untuk ibu negara New Delhi dan pusat ekonomi Mumbai, termasuk pengurus kedai dan juruteknik perkhidmatan.

Iklan pekerjaan tersebut juga disiarkan di laman web LinkedIn pada Isnin.

Langkah Tesla itu menyusul selepas pertemuan tertutup antara Musk dan Modi di Washington, mencetuskan spekulasi sama ada ia merupakan perjumpaan rasmi atau berkaitan urusan perniagaan.

Musk telah lama mencari peluang perniagaan di India, dengan laporan media tahun lalu menyatakan Tesla sedang meninjau lokasi untuk kilang dan bilik pameran di negara itu.

Selain kenderaan elektrik, Musk juga mahu membawa perkhidmatan internet satelit Starlink ke India.

November lalu, Menteri Komunikasi India, Jyotiraditya Scindia berkata syarikat itu akan dibenarkan beroperasi jika mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Potensi pelancaran Starlink di India telah mencetuskan perdebatan dasar serta kebimbangan mengenai keselamatan negara, memandangkan rangkaian satelit orbit rendah itu mampu menyediakan internet ke kawasan terpencil dan tidak mempunyai sambungan internet tradisional.

Musk dijadualkan melawat India pada 2024, dengan jangkaan bahawa beliau akan mengumumkan pelaburan besar, namun lawatan itu dibatalkan atas alasan “komitmen berat terhadap Tesla”.

Pasaran kenderaan elektrik India masih kecil, tetapi menawarkan potensi pertumbuhan untuk Tesla yang kini menghadapi persaingan sengit dari China serta penurunan pertama dalam jualan tahunan kenderaan elektriknya.

Sebelum ini, cukai import India terhadap kenderaan elektrik yang tinggi menghalang Tesla daripada menembusi pasaran tersebut tanpa kilang tempatan. Musk pernah mengeluh bahawa kadar cukai itu antara yang “tertinggi di dunia”.

Namun, tahun lalu India mengurangkan cukai import bagi pengeluar global yang bersedia melabur sekurang-kurangnya $500 juta dan memulakan pengeluaran tempatan dalam tempoh tiga tahun.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM