PESHAWAR, 18 Februari- Enam terkorban dalam serangan konvoi trak yang membawa bekalan makanan ke kawasan bergolak di Pakistan.
Menurut pegawai pada Selasa, serangan tersebut membabitkan lebih 20 lelaki bersenjata, selain beberapa trak turut dirompak.
Konvoi tersebut sedang dalam perjalanan ke Parachinar, sebuah bandar di daerah Kurram yang bersempadan dengan Afghanistan.
Kawasan itu telah lama berdepan keganasan, dengan sekitar 250 orang terbunuh sejak pertempuran kembali memuncak pada Julai lalu.
Menurut pegawai keselamatan, serangan berlaku apabila kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan yang mengiringi konvoi tersebut, membunuh seorang pemandu trak dan mencederakan tujuh yang lain.
Sebuah unit pasukan paramilitari yang dikerahkan sebagai bantuan turut diserang hendap, menyebabkan lima anggota terkorban.
"Penyerang turut membakar tiga kenderaan pasukan sempadan," kata seorang pegawai polis yang enggan dikenali kepada AFP.
Beliau menambah bahawa 15 orang, termasuk seorang wanita awam, mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Ketegangan antara penganut Sunni dan Syiah di Kurram berpunca daripada pertikaian lama mengenai pemilikan tanah pertanian.- AFP