fb fb fb fb fb

Runtuhan lombong di Kazakhstan ragut tujuh nyawa

Foto akipress.com

ALMATY, 18 Februari – Runtuhan bawah tanah di sebuah lombong tembaga di Kazakhstan tengah telah meragut tujuh nyawa, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Perkhidmatan kecemasan dalam kenyataan memaklumkan mayat pelombong ketujuh di lombong Kazakhmys telah ditemui, sehari selepas kejadian berlaku pada kedalaman sekitar 640 meter (2,100 kaki).

Pada Isnin malam, Kementerian Kecemasan negara itu melaporkan berlakunya “runtuhan jisim batu” di sebuah lombong milik syarikat Kazakhmys di wilayah Ulytau, tengah Kazakhstan.

Sehubungan itu, pasukan penyelamat dari wilayah Karaganda yang berdekatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat.

Kazakhmys merupakan pengeluar tembaga terbesar di Kazakhstan.

Insiden di lombong adalah perkara biasa di negara Asia Tengah yang luas itu, meskipun kerajaan telah berusaha meningkatkan tahap keselamatan industri perlombongan.

Pada Oktober 2023, kebakaran di sebuah lombong milik ArcelorMittal di wilayah Karaganda mengorbankan 46 orang, menjadikannya tragedi perlombongan paling buruk dalam sejarah Kazakhstan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN