fb fb fb fb fb

Australia sekat akaun Facebook, Instagram pengguna bawah 16 tahun

Foto AFP

SYDNEY, 20 November - Pengguna Australia berusia bawah 16 tahun akan disekat daripada akses Facebook dan Instagram mulai 4 Disember, menurut syarikat teknologi Meta pada Khamis.

Perkara itu susulan persediaan Canberra menguatkuasakan undang-undang baharu yang melarang remaja menggunakan media sosial.

Mulai 10 Disember, Australia akan mewajibkan semua platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok untuk menapis pengguna bawah umur 16 tahun atau berdepan denda.

Meta memaklumkan bahawa pihaknya akan mula menyekat remaja dari platform mereka sebelum larangan itu berkuat kuasa.

"Mulai hari ini, Meta akan memaklumkan pengguna Australia yang dikenal pasti berusia 13 hingga 15 tahun bahawa mereka akan hilang akses kepada Instagram, Threads dan Facebook. katanya dalam satu kenyataan.

"Meta akan mula menyekat akaun baharu bawah 16 tahun dan membatalkan akses akaun sedia ada mulai 4 Disember, dengan jangkaan mengeluarkan semua pengguna bawah 16 tahun yang dikenal pasti menjelang 10 Disember," menurut Meta dalam satu kenyataan.

Menurut data kerajaan Australia, terdapat kira-kira 350,000 pengguna Instagram berusia antara 13 hingga 15 tahun dan sekitar 150,000 akaun Facebook dalam lingkungan umur sama.

Meta turut mengeluarkan amaran kepada pengguna terlibat bahawa mereka akan disekat tidak lama lagi.

"Tidak lama lagi, anda tidak lagi boleh menggunakan Facebook dan profil anda tidak akan dapat dilihat oleh pemilik akaun atau orang lain.

"Apabila anda mencecah usia 16 tahun, kami akan memaklumkan bahawa anda boleh kembali menggunakan Facebook," menurut mesej yang dihantar kepada pengguna terjejas.

Remaja akan dapat mengakses semula akaun mereka 'seperti mana ia ditinggalkan' apabila mencapai usia 16 tahun, menurut Meta.

Akaun yang ditandai secara tersilap boleh membuat pengesahan umur melalui 'swafoto video' atau dengan menyediakan dokumen pengenalan rasmi.

Syarikat media sosial sebelum ini menyifatkan undang-undang itu sebagai tidak jelas dan tergesa-gesa termasuk Meta yang sekali lagi menyuarakan kebimbangan mereka.

"Kami berkongsi matlamat Kerajaan Australia untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang selamat dan sesuai mengikut umur, tetapi memutuskan remaja daripada rakan-rakan dan komuniti mereka bukanlah penyelesaiannya," tambah kenyataan itu.

Terdapat perhatian global terhadap keberkesanan undang-undang ketat Australia ini ketika pengawal selia di seluruh dunia bergelut menangani risiko media sosial.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, akan membentangkan rang undang-undang serupa bagi mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Kerajaan Belanda pula menasihati ibu bapa supaya tidak membenarkan anak bawah 15 tahun menggunakan aplikasi seperti TikTok dan Snapchat.

Syarikat media sosial yang melanggar undang-undang tersebut berdepan denda sehingga AUS$49.5 juta (AS$32 juta).

Secara teori, larangan ini antara yang paling ketat di dunia. Namun pakar bimbang undang-undang itu mungkin sekadar simbolik kerana kesukaran melaksanakan dan menguatkuasakan sistem pengesahan umur dalam talian.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI