COPENHAGEN, 18 Februari- Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen mengumumkan bahawa kerajaan akan membentangkan rancangan untuk memperkukuh ketenteraan secara besar-besaran pada Rabu.
Ini berikutan ancaman yang semakin meningkat daripada Rusia.
"Kita mesti meningkatkan keupayaan ketenteraan secara besar-besaran untuk melindungi Denmark. Kita mesti memperkukuh pertahanan bagi mengelakkan peperangan," kata Frederiksen dalam sidang parlimen pada Selasa.
Beliau tidak mendedahkan butiran atau jumlah peruntukan, namun menurut penyiar awam Denmark, DR, kerajaan dijangka mengumumkan pembentukan dana bernilai 50 bilion kroner ($7 bilion) bagi perbelanjaan pertahanan tambahan untuk tahun 2025-2026.
Kerajaan sebelum ini mempertimbang untuk menggandakan jumlah dana tersebut, tetapi mendapati bahawa bekalan peralatan ketenteraan yang tersedia tidak mencukupi untuk pembelian dalam jumlah yang lebih besar.
Antara keutamaan dalam senarai pembelian kerajaan ialah sistem pertahanan udara, yang ketika ini tidak dimiliki oleh Denmark.
Frederiksen menegaskan bahawa pemerkasaan ketenteraan perlu dilakukan dengan segera berikutan situasi yang semakin genting bagi negara, kerajaan Denmark dan seluruh Eropah.
"Kita sedang menghadapi keadaan paling berbahaya dalam hidup kita. Ini lebih buruk daripada Perang Dingin," katanya.
Selepas rundingan kecemasan di Paris berhubung perubahan dasar Amerika Syarikat terhadap perang di Ukraine, Frederiksen memberi amaran bahawa Rusia kini mengancam seluruh Eropah.- AFP