fb fb fb fb fb

Masa depan Gaza, ditentukan oleh rakyat Palestin - Qatar

Foto AFP

DOHA, 18 Februari- Qatar menegaskan bahawa masa depan Gaza mesti ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri, bukan pihak luar selepas perang antara Israel dan Hamas berakhir.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, dalam sidang media di Doha pada Selasa berkata isu tersebut adalah "persoalan rakyat Palestin", sebagai reaksi terhadap tuntutan Israel untuk menghapuskan Hamas dan cadangan Amerika Syarikat mengenai pengambilalihan Gaza.

"Dari perspektif kami, ini adalah persoalan rakyat Palestin mengenai apa yang akan berlaku selepas konflik ini.

Ia adalah persoalan rakyat Palestin mengenai siapa yang mewakili mereka secara rasmi, serta kumpulan politik yang berperanan dalam arena politik," kata Ansari.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengumumkan bahawa rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata Gaza, yang turut diusahakan oleh Qatar, akan bermula minggu ini.

Fasa kedua gencatan senjata bertujuan memastikan pembebasan baki tebusan yang ditahan dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, serta mencapai penghentian perang secara kekal.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencadangkan pengambilalihan Gaza dengan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir atau Jordan, tetapi rancangan itu menerima kecaman meluas daripada negara-negara Arab yang kini sedang menyiapkan respons mereka.

Cadangan Trump menambahkan lagi ketegangan terhadap gencatan senjata Gaza yang rapuh, yang telah menghentikan sebahagian besar keganasan sejak mula berkuat kuasa pada 19 Januari, selepas lebih 15 bulan perang.

Gencatan senjata fasa pertama yang dijadual berakhir pada 1 Mac ini telah menyaksikan pembebasan 19 tebusan Israel sebagai pertukaran dengan lebih 1,100 tahanan Palestin di penjara Israel.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM