fb fb fb fb fb

Rundingan damai Ukraine-Rusia, Erdogan tawar Turkiye sebagai tuan rumah

Presiden Recep Tayyip Erdogan (kanan) bersalaman dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semasa pertemuan di Kompleks Presiden di Ankara/AFP

ANKARA, 18 Februari- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menyatakan bahawa Turkiye adalah tempat yang paling sesuai untuk menjadi tuan rumah bagi rundingan menamatkan konflik antara Rusia dan Ukraine, yang berlarutan hampir tiga tahun.

Tawaran itu dibuat selepas Erdogan mengadakan perbincangan selama hampir tiga jam dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang kini berusaha mengukuhkan kedudukan Kiev susulan pendekatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap Moscow.

"Turkiye akan menjadi tuan rumah yang ideal bagi rundingan antara Rusia, Ukraine dan Amerika dalam masa terdekat," kata Erdogan dalam sidang media bersama Zelenskyy di Ankara.

Berdasarkan pendekatan yang dimulakan oleh Trump untuk menamatkan perang tersebut, Erdogan berkata rundingan terdahulu di Istanbul pada 2022 telah menjadi rujukan penting dan platform di mana pihak-pihak yang terlibat hampir mencapai persetujuan.

Pertemuan Erdogan dan Zelenskyy itu berlangsung beberapa jam selepas diplomat tertinggi AS dan Rusia mengadakan rundingan di Arab Saudi.

Ia menandakan perbincangan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara sejak Rusia menyerang Ukraine.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM