fb fb fb fb fb

EU beri amaran Eropah tidak boleh ‘bergantung’ pada AS

Foto Reuters

BRUSSELS, 19 Februari – Ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menggesa Eropah supaya menggandakan usaha dalam memperkukuh pertahanan dan menyokong Ukraine selepas Amerika Syarikat (AS) memulakan rundingan dengan Rusia bagi menghentikan perang.

Dalam satu kenyataan bersama Parti Rakyat Eropah, Sosialis dan Demokrat, Renew serta Greens, mereka menegaskan bahawa Eropah tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada AS untuk mempertahankan nilai dan kepentingan bersama, termasuk sokongan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Ukraine.

“Kita mesti berdepan dengan realiti baharu ini dan menggandakan usaha bersama di peringkat Eropah dalam mempertahankan Ukraine serta keselamatan Eropah secara keseluruhan dengan mewujudkan keupayaan pencegahan yang kukuh dan berwibawa terhadap sebarang bentuk pencerobohan,” menurut kenyataan itu.

Gesaan tersebut dibuat susulan pertemuan pegawai tertinggi AS dengan perunding Rusia di Arab Saudi bagi membuka ruang rundingan untuk menamatkan perang tiga tahun Moscow ke atas Ukraine.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini telah mengenepikan sekutu Washington dan mengubah hala tuju usaha Barat dengan mendekati Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Ahli Parlimen EU menekankan bahawa blok itu mesti memastikan Ukraine berada dalam kedudukan ketenteraan paling kukuh dan perlu menggubal undang-undang bagi membolehkan ia merampas lebih €200 bilion aset Rusia yang dibekukan dalam blok tersebut.

“Tidak boleh ada rundingan mengenai Ukraine tanpa penyertaan Ukraine dan EU di meja rundingan. Tidak boleh ada rundingan mengenai keselamatan Eropah tanpa EU,” tegas mereka.

Perubahan dasar pantas AS turut menimbulkan kebimbangan selepas terdapat cadangan daripada pegawai negara itu bahawa tentera Amerika mungkin dipindahkan keluar dari Eropah.

“EU dan negara anggotanya tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan segera, bersama NATO dan sekutu bukan EU yang sehaluan, bagi melabur dalam arkitektur keselamatan dan pertahanan Eropah yang lebih cekap serta bersepadu,” menurut kenyataan itu lagi.

Ahli parlimen tersebut turut menegaskan keperluan mendesak untuk memastikan dana yang mencukupi bagi dasar pertahanan EU.

Sejak Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine pada 2022, negara-negara Eropah telah meningkatkan perbelanjaan pertahanan, namun mereka mengakui perlu bertindak lebih pantas dalam menghadapi ancaman daripada Putin.

EU kini bimbang bahawa sebarang perjanjian rahsia antara Trump dan Kremlin akan menyebabkan mereka berdepan dengan Rusia yang lebih berani dan bersenjata lengkap.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN