fb fb fb fb fb

Trump pecat semua peguam negara era Biden

Pesiden AS, Donald Trump / AFP

WASHINGTON, 19 Februari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pemecatan semua peguam negara yang dilantik Joe Biden, sebagai langkah membersihkan sistem kehakiman yang didakwanya telah dipolitikkan.

“Sepanjang empat tahun lalu, Jabatan Kehakiman telah dipolitikkan seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pemecatan semua Peguam Negara Amerika Syarikat yang masih berkhidmat dari era Biden,” tegasnya.

“Kita mesti membersihkan sistem ini segera dan mengembalikan keyakinan rakyat. Era Keemasan Amerika mesti bermula dengan sistem keadilan yang adil dan ia bermula hari ini!” tambahnya.

Secara tradisi, presiden baharu akan melantik peguam negara sendiri bagi menggantikan mereka yang dilantik oleh pemimpin terdahulu.

Terdapat 93 peguam negara persekutuan di seluruh Amerika Syarikat, setiap seorang bertanggungjawab bagi 94 daerah mahkamah persekutuan, dengan dua daerah berkongsi seorang peguam negara.

Sebilangan peguam negara lantikan Biden telah meletakkan jawatan lebih awal selepas kemenangan Trump pada pilihan raya November lalu, sebagai persediaan untuk digantikan.

Jabatan Kehakiman, yang sebelum ini dituduh Trump cuba mendakwanya secara tidak adil, telah mengalami rombakan besar sejak beliau kembali ke White House. Beberapa pegawai tinggi telah dipecat, diturunkan pangkat atau dipindahkan.

Antara yang dipecat termasuk anggota pejabat Peguam Khas Jack Smith, yang sebelum ini mendakwa Trump dalam dua kes jenayah yang kini telah digugurkan.

Sementara itu, Pemangku Peguam Negara bagi Daerah Selatan New York, lantikan Trump, meletakkan jawatan minggu lalu selepas Jabatan Kehakiman meminta beliau menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Datuk Bandar New York, Eric Adams.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE