fb fb fb fb fb

Vietnam kekal pengeksport kopi kedua terbesar dunia

HANOI, 16 September- Kopi Vietnam yang dieksport ke lebih 80 negara serta wilayah dan menguasai 14.2 peratus pasaran global menjadikan negara itu pengeksport kedua terbesar di dunia.

Vietnam mengeksport 112,531 tan kopi bernilai US$266 juta pada Ogos, meskipun dari segi kuantiti menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus tetapi nilai jualan produk itu mencatatkan peningkatan 13 peratus , lapor Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik Jabatan Am Kastam negara itu.

Dalam tempoh lapan bulan, Vietnam merekodkan keuntungan US$2.8 bilion hasil eksport 1.2 juta tan kopi.

Kopi ialah satu daripada enam elemen utama yang menjana kewangan dengan hasil tahunan melebihi US$3 bilion.

Pasaran utamanya ialah Eropah, Amerika Syarikat, Rusia, Jepun dan United Kingdom.

Menurut VNA, Vietnam pada masa ini mempunyai 97 kilang pemprosesan biji kopi dengan kapasiti penghasilan tahunan sebanyak 1.5 juta tan, 160 pemanggang kopi, lapan jenama kopi segera dan 11 kemudahan pengeluaran kopi campuran.- BERNAMA


(Foto hiasan)

Media Baharu