WASHINGTON, 9 Ogos - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin pada 15 Ogos di Alaska, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Pertemuan yang dinanti-nantikan antara saya, selaku Presiden Amerika Syarikat, dan Presiden Vladimir Putin dari Rusia, akan berlangsung pada Jumaat depan, 15 Ogos 2025 di Alaska.
“Butiran lanjut akan diumumkan kemudian. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!” kata Trump menerusi hantaran di Truth Social.
Trump berkata beliau akan bertemu Putin “dalam masa terdekat” tetapi sebelum ini tidak mendedahkan tarikh dan lokasi bagi mengelakkan tumpuan beralih daripada perjanjian damai rangka kerja yang beliau usahakan antara Azerbaijan dan Armenia, yang ditandatangani pada Jumaat di Rumah Putih.
Beliau memaklumkan bahawa Putin mahu mengadakan pertemuan “secepat mungkin” dan mengumumkan bahawa Rusia dan Ukraine akan bertukar wilayah sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.
“Ia sangat rumit. Tetapi kita akan dapat semula beberapa wilayah, dan ada yang akan ditukar. Akan ada pertukaran wilayah yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, namun kita akan berbincang mengenainya sama ada kemudian atau esok,” katanya.
Trump juga berkata bahawa pemimpin-pemimpin Eropah mahukan keamanan antara Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, dan kedua-dua pemimpin berkongsi matlamat yang sama.
Utusan khas AS, Steve Witkoff berada di Moscow pada Rabu bagi lawatan kelimanya ke Rusia tahun ini. Kali terakhir beliau bertemu Putin adalah pada 25 April.
Lawatan terbaharu itu berlangsung dua hari sebelum tarikh akhir 10 hari yang ditetapkan Trump untuk Rusia mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Ukraine.
Beliau menambah, Zelenskyy sedang mempersiapkan segala keperluan untuk menandatangani satu perjanjian damai, dengan rundingan giat dijalankan. - Bernama