ATLANTA, 9 Ogos - Seorang pegawai polis Daerah Dekalb, Georgia, maut selepas ditembak ketika bertindak balas terhadap insiden tembakan di kampus Universiti Emory, berhampiran Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Amerika Syarikat.
Ketua Polis Daerah Dekalb, Gregory Padrick, memaklumkan pegawai berkenaan terkena tembakan ketika menjalankan tugas seperti prosedur operasi standard. Namanya tidak didedahkan bagi menghormati keluarga, namun akan diumumkan kemudian.
“Kami dengan penuh dukacita mengumumkan kehilangan seorang daripada anggota kami sendiri. Beliau bertindak mengikut latihan yang diberikan, tetapi ditembak ketika kejadian,” katanya pada sidang media.
Ketua Eksekutif Daerah Dekalb, Lorraine Cochran-Johnson pula menyifatkan hari kejadian sebagai detik paling gelap bagi komuniti itu. “Kini, ada seorang isteri tanpa suami, tiga anak termasuk seorang yang belum lahir tanpa bapa, serta ibu bapa dan adik-beradik yang kehilangan insan tersayang,” ujarnya.
Polis Atlanta mengesahkan suspek utama maut di tempat kejadian dan tiada ancaman kedua dikesan. Tiada kecederaan awam dilaporkan. - Reuters