WASHINGTON, 9 Ogos - Selepas berpuluh tahun pertikaian, Armenia dan Azerbaijan akhirnya mencapai kata sepakat untuk menamatkan semua pertempuran secara kekal.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, pada majlis menandatangani perjanjian damai di White House.
"Armenia dan Azerbaijan bersetuju menamatkan semua pertempuran untuk selama-lamanya," kata Trump.
Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan dan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, turut bersetuju membuka perdagangan, perjalanan, hubungan diplomatik serta menghormati kedaulatan masing-masing.
Perjanjian itu juga merangkumi pembukaan koridor transit antara Azerbaijan dan wilayah Nakhchivan, yang akan dibangunkan Amerika Syarikat dan dinamakan “Trump Route for International Peace and Prosperity”.
Kedua-dua negara itu akan memeterai perjanjian ekonomi bersama AS, selain membubarkan Kumpulan Minsk di bawah OSCE.
Pada Khamis, Perdana Menteri Kemboja mengumumkan beliau telah mencalonkan Donald Trump untuk Anugerah Nobel Keamanan.
Bagaimanapun, Trump masih belum berjaya menyelesaikan perang Rusia-Ukraine dan krisis kebuluran di Gaza susulan serangan Israel.
Konflik antara Armenia dan Azerbaijan sejak 1988 berpunca daripada pertikaian wilayah Nagorno-Karabakh, kawasan pergunungan di dalam Azerbaijan tetapi majoriti penduduknya etnik Armenia.
Ketegangan bermula apabila penduduk Armenia di wilayah itu menuntut pemindahan pentadbiran daripada Azerbaijan kepada Armenia, mencetuskan rusuhan dan keganasan etnik.
Pertikaian berlarutan menjadi perang besar pada 1988 hingga 1994, dengan Armenia menguasai Nagorno-Karabakh serta tujuh daerah sekitarnya. Walaupun gencatan senjata dicapai pada 1994, hubungan kedua-dua negara kekal tegang dengan pertempuran kecil berulang kali tercetus.
Pada 2020, perang meletus semula apabila Azerbaijan berjaya merampas semula sebahagian besar wilayah tersebut. Tiga tahun kemudian, pada September 2023, serangan kilat Azerbaijan menawan keseluruhan Nagorno-Karabakh, sekali gus memaksa lebih 100,000 etnik Armenia melarikan diri ke Armenia. - AFP