fb fb fb fb fb

Vietnam failkan tuntutan ke atas pelantar benua lanjutan di Laut China Selatan

Vietnam telah memfailkan tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan / Foto Reuters

HANOI, 18 Julai - Vietnam telah memfailkan tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan, sebulan selepas negara jiran serantau Filipina membuat langkah serupa.

Menerusi kenyataan, Kementerian Luar Vietnam memaklumkan penyerahan pelantar benua melebihi 200 batu nautika ketika ini adalah untuk melaksanakan hak dan kewajipan pihak-pihak negara mengikut rangka kerja maritim.

"Ini adalah penyerahan ketiga ECS oleh Vietnam termasuk penyerahan berkaitan dengan kawasan utara Laut China Selatan atau Laut Timur Vietnam dan penyerahan bersama dengan Malaysia berkenaan dengan bahagian selatan kawasan itu pada 2009," kata kenyataan itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk bahagian-bahagian yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Sebahagian daripada laluan air strategik, di mana perdagangan bernilai AS$3 trilion setiap tahun, dipercayai kaya dengan minyak dan gas asli, serta stok ikan.

Vietnam juga menghantar nota lisan kepada Setiausaha Agung PBB untuk menyatakan kedudukan Vietnam berhubung penyerahan serupa Filipina yang difailkan bulan lalu, kata kementerian luar Vietnam.

"Vietnam sekali lagi menegaskan kedaulatannya ke atas kepulauan Hoang Sa (Paracel) dan Truong Sa (Spratly) mengikut undang-undang antarabangsa," kata Kementerian Luar Vietnam.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN