fb fb fb fb fb

China tangguh rundingan dengan AS mengenai kawalan senjata nuklear

China menagguhkan rundingan kawalan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), sebagai protes penjualan senjata Washington ke Taiwan / Foto Reuters

WASHINGTON, 18 Julai - China telah menangguhkan rundingan kawalan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Luarnya hari ini, sebagai protes penjualan senjata Washington ke Taiwan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, penjualan senjata AS yang berulang kali ke Taiwan, beberapa bulan kebelakangan ini sesuatu yang "serius menjejaskan suasana politik untuk meneruskan rundingan kawalan senjata."

“Oleh itu, China telah memutuskan untuk menangguhkan perbincangan dengan AS mengenai pusingan baharu rundingan tentang kawalan senjata. Tanggungjawab sepenuhnya terletak pada AS,” kata Lin di Beijing.

Lin berkata China bersedia untuk mengekalkan perbincangan mengenai kawalan senjata antarabangsa, namun AS "mesti menghormati kepentingan teras China dan mewujudkan keadaan yang perlu untuk dialog dan pertukaran."

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata China telah memilih untuk mengikut telunjuk Rusia dengan menegaskan bahawa penglibatan kawalan senjata tidak boleh diteruskan manakala terdapat cabaran lain dalam hubungan dua hala.

"Kami fikir pendekatan ini menjejaskan kestabilan strategik, ia meningkatkan risiko dinamik perlumbaan senjata," kata Miller kepada pemberita.

"Malangnya, dengan menangguhkan rundingan ini, China telah memilih untuk tidak meneruskan usaha yang akan mengurus risiko strategik dan menghalang perlumbaan senjata yang mahal, namun kami Amerika Syarikat akan tetap terbuka untuk membangun dan melaksanakan langkah pengurangan risiko konkrit dengan China," kata Miller.

Pentadbiran Presiden AS Joe Biden menyokong dasar "pembahagian", di mana rundingan kawalan senjata nuklear diasingkan daripada isu-isu lain yang menjadi perbalahan China-AS.

Keputusan China itu dibuat lebih sebulan selepas pentadbiran Biden berkata Amerika Syarikat mungkin perlu menggunakan senjata nuklear yang lebih strategik untuk menghalang ancaman yang semakin meningkat daripada senjata China dan Rusia.

Daryl Kimball, Pengarah Eksekutif kumpulan advokasi Persatuan Kawalan Senjata berkata AS, Rusia dan China terikat secara sah sebagai penandatangan Perjanjian Tanpa Percambahan Nuklear, asas kawalan senjata global untuk "melibatkan diri dalam perbincangan untuk mencegah perlumbaan senjata."

"Satu-satunya cara mereka boleh mencapainya ialah melalui dialog yang serius dan keengganan Rusia untuk berbuat demikian dan keputusan China untuk berbuat demikian adalah halangan yang sangat serius," katanya.

AS adalah penyokong antarabangsa dan pembekal senjata paling penting Taiwan walaupun tanpa hubungan diplomatik rasmi. China telah berulang kali menuntut penjualan senjata ini dihentikan.

Taiwan telah melakukan memprotes sejak empat tahun lalu mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan China berhampiran pulau itu, termasuk misi hampir setiap hari oleh pesawat pejuang dan kapal perang China.- REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN