fb fb fb fb fb

Vietnam, China bincang isu Laut China Selatan

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh (kanan) dan Perdana Menteri China Li Qiang/ AFP

HANOI, 13 Oktober- Vietnam dan China bersetuju meredakan ketegangan dalam pertikaian Laut China Selatan, lapor media Vietnam pada Ahad.

Ia beberapa hari selepas Hanoi menuduh Beijing melakukan serangan 'kejam' ke atas nelayannya.

China merupakan rakan perdagangan terbesar Vietnam, tetapi kedua-dua negara menghadapi ketegangan termasuk di Laut China Selatan.

Beijing bertahun-tahun dalam usaha untuk mendapatkan hak di kawasan laut yang dipertikaikan itu.

Negara tembok besar itu juga mengetepikan keputusan antarabangsa bahawa tuntutannya terhadap kebanyakan laluan air tidak mempunyai asas undang-undang.

Minggu lalu Hanoi membantah serangan 'kejam' oleh kapal China, berikutan 10 nelayan Vietnam diserang menggunakan palang besi.

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri China Li Qiang dalam pertemuan di Hanoi turut "bertukar pendapat berikutan perkara itu termasuk isu maritim."

"Mereka komited untuk mengawal perbezaan dengan secukupnya... mengelakkan tindakan yang merumitkan keadaan, dan bersama-sama mengekalkan kestabilan di laut," lapor media Vietnam, Bao Chinh Phu.

Kedua-dua negara turut menandatangani 10 perjanjian pada Ahad, termasuk memperluaskan rangkaian kereta api rentas sempadan, pembayaran dan kerjasama ekonomi.

Mereka bersetuju untuk mengusahakan rancangan teknikal untuk sambungan kereta api antara Lao Cai di utara Vietnam dan Hekou di wilayah Yunnan China.

Mereka juga menandatangani memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan melalui kod QR dan perjanjian untuk mengkaji model "zon kerjasama ekonomi" rentas sempadan.

Presiden Vietnam To Lam dan Li bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dan ekonomi.

Hanoi akan memudahkan lebih banyak pelaburan China berteknologi tinggi di Vietnam dan Beijing akan mengukuhkan akses pasaran untuk produk pertanian Vietnam, lapor akhbar Nhan Dan.

Lam turut "menggesa kedua-dua pihak untuk... mengurus dan menyelesaikan perbezaan dengan lebih baik" termasuk isu maritim, kata akhbar itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI