GENEVA, 14 April- Vaksin COVID-19 yang berkesan terhadap pelbagai varian wabak mungkin dapat dihasilkan sebelum akhir tahun ini.
Itu jaminan Pengerusi Pfizer, Albert Bourla.
Firma berkenaan juga sedang dalam usaha menghasilkan vaksin yang boleh memberikan perlindungan penuh selama setahun.
"Saya berharap menjelang musim luruh, kita sudah memiliki vaksin yang berkesan bukan sahaja terhadap Omicron tetapi semua varian yang diketahui.
"Ia satu kemungkinan untuk kita memilikinya pada masa itu, namun ia bukanlah satu kepastian," katanya pada taklimat media anjuran kumpulan besar farmaseutikal Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal (IFPMA).
Ini bermakna setiap individu hanya perlu mendapatkan suntikan penggalak sama seperti suntikan vaksin Influenza.
(FOTO AFP)
Sementara itu, turut berkongsi pandangan sama Ketua Pengarah Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal (IFPMA), Thomas Cueni.
"Ketika ini dunia benar-benar memerlukan vaksin yang memberi perlindungan penuh selama setahun. Sekiranya ia dapat direalisasikan, usaha itu menjadi penyelesaian kesihatan awam yang optimum sekali gus mudah ditadbir dan dipatuhi oleh semua penduduk dunia," kata Cueni.
Tambahnya, dunia juga perlu belajar untuk hidup bersama virus yang menyebabkan penyakit COVID-19.
Dalam pada itu, ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (PBB), Soumya Swaminathan menegaskan bahawa bekalan vaksin COVID-19 kini bertambah baik.
Namun, masalah logistik dan penghantaran bekalan kepada negara-negara miskin terutamanya Afrika menjadi hambatan.
Jelas beliau, badan itu berkemampuan untuk membekalkan seberapa banyak dos yang dimahukan oleh mana-mana negara, bagaimanapun isu berkaitan penghantaran masih membelenggu.-AFP