WASHINGTON, 24 September – NASA mengesahkan misi berawak pertama di bawah program Artemis, Artemis 2, dijadualkan dilancar pada April 2026, dengan kemungkinan diawalkan ke Februari.
Artemis 2 merupakan penerbangan ujian selama 10 hari yang akan membawa empat angkasawan mengelilingi bulan sebelum kembali ke bumi. Ia menjadi langkah awal kepada Artemis 3, misi pendaratan bulan pertama sejak 1972 yang dirancang pada 2027 menggunakan roket Starship milik SpaceX.
Menurut pemangku pegawai kanan NASA, Lakiesha Hawkins, tahap kesiapsiagaan roket Space Launch System (SLS) dan kapsul Orion berpotensi membolehkan pelancaran lebih awal, namun keselamatan kekal sebagai keutamaan.
Pelancaran akan menggunakan roket SLS setinggi 98 meter dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, yang buat pertama kali digandingkan dengan kapsul Orion bagi penerbangan berawak.
Empat angkasawan yang dipilih ialah Reid Wiseman (komander), Victor Glover (juruterbang), Christina Koch (pakar misi) dan Jeremy Hansen dari Kanada.
Hansen akan menjadi rakyat Kanada pertama yang menghampiri bulan.
Program Artemis adalah usaha utama Amerika Syarikat (AS) mengembalikan manusia ke bulan, sekali gus bersaing dengan China yang menyasarkan pendaratan angkasawan menjelang 2030. -REUTERS