BANGKOK, 14 April - Pemulihan ekonomi di rantau Asia dan Pasifik daripada pandemik COVID-19 dan risiko global lain perlu bersandarkan “kontrak sosial baharu” untuk melindungi golongan rentan, menurut tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasifik 2022, dikeluarkan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), pandemik telah menafikan lebih 820 juta pekerja tidak formal dan lebih 70 juta kanak-kanak daripada golongan yang kurang berkemampun untuk mendapatkan akses pendapatan dan persekolahan yang sewajarnya.
(Foto fail)
Sebanyak 85 juta orang di rantau Asia dan Pasifik dilaporkan terjerumus semula kepada kemiskinan tegar pada 2021.
Pertumbuhan ekonomi di negara membangun di Asia dan Pasifik diunjurkan pada kadar sederhana iaitu 4.5% pada 2022 dan 5% pada 2023, berbanding anggaran pertumbuhan 7.1% pada 2021.
Kerugian pengeluaran antara 2020 dan 2022 pula dianggarkan sebanyak US$2 trilion.
“Dengan ruang fiskal yang semakin berkurangan di banyak negara membangun di rantau ini, tinjauan itu memberi amaran mengenai pemotongan perbelanjaan fiskal untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial untuk melindungi keuntungan pembangunan sejak beberapa dekad lalu dan mencegah ketidaksamaan yang semakin mendalam di rantau ini,” menurut tinjauan itu.
Justeru, ESCAP mengesyorkan beberapa agenda dasar serampang tiga mata, bertujuan membentuk ekonomi inklusif di Asia dan Pasifik. -BERNAMA