fb fb fb fb fb

Utusan PBB bertemu Sharaa, seru peralihan politik inklusif di Syria

Utusan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Geir Pedersen (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan ketua pentadbiran baharu Syria, Ahmed al-Sharaa (kanan) / Foto Reuters

DAMSYIK, 16 Disember – Utusan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Geir Pedersen, menyeru agar peralihan politik inklusif dilaksanakan di Syria, selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2254 yang telah berusia sembilan tahun.

Seruan itu disampaikan dalam pertemuannya dengan ketua pentadbiran baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, Ahad lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Utusan PBB, Pedersen menekankan keperluan mendesak untuk memastikan proses politik yang kredibel dan inklusif, yang dipimpin serta dimiliki oleh rakyat Syria.

Dalam pada itu, Komando Umum Syria dalam kenyataan berasingan menyatakan keperluan untuk menyemak semula Resolusi 2254 bagi menyesuaikannya dengan “realiti baharu” selepas perubahan kepimpinan di negara tersebut.

Pertemuan itu menjadi salah satu acara antarabangsa paling signifikan buat Sharaa, pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang kini memegang kuasa pemerintahan di Damsyik.

HTS telah menggulingkan rejim Bashar al-Assad lebih seminggu lalu.

HTS sebelum ini disenaraikan sebagai kumpulan penentang oleh kuasa-kuasa Barat dan serantau, termasuk Turki.

Namun, pentadbiran baharu Syria masih belum memberikan butiran mengenai langkah seterusnya dalam proses peralihan selepas lebih lima dekad pemerintahan keluarga Assad dan hampir 14 tahun perang saudara yang telah memusnahkan negara tersebut.

Perdana Menteri baharu, Mohammed al-Bashir, yang sebelum ini mengetuai kerajaan wilayah Idlib bersekutu HTS, menyatakan beliau akan memegang jawatan sehingga Mac 2024.

Pedersen turut memaklumkan Sharaa mengenai hasil Mesyuarat Antarabangsa Aqaba yang diadakan di Jordan pada Sabtu lalu.

Dalam taklimat itu, beliau menegaskan pentingnya komitmen terhadap prinsip-prinsip Resolusi 2254 bagi memastikan masa depan politik Syria yang stabil dan inklusif.

“Utusan Khas telah memberikan jaminan bahawa PBB bersedia untuk memberikan segala bantuan kepada rakyat Syria dalam merealisasikan peralihan ini,” menurut kenyataan pejabat Pedersen.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN