fb fb fb fb fb

EU lancar rangkaian satelit saingi Starlink Musk

Foto Fail Reuters

BRUSSELS, 16 Disember – Projek konstelasi satelit utama Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi dilancarkan pada Isnin apabila blok tersebut menandatangani kontrak konsesi dengan konsortium Eropah untuk membangunkan sistem komunikasi berasaskan ruang angkasa yang selamat.

Dengan visi sebuah rangkaian multi-orbital hampir 300 satelit, Iris² bertujuan untuk bersaing dengan penyedia perkhidmatan internet satelit AS seperti Starlink milik Elon Musk dan Project Kuiper oleh Amazon.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Henna Virkkunen, berkata, “Konstelasi yang canggih ini akan melindungi infrastruktur kritikal kami, menghubungkan kawasan terpencil kami dan meningkatkan autonomi strategik Eropah.”

Sistem ini, yang dibangunkan sebagai perkongsian awam-swasta, akan memberi perkhidmatan kepada kedua-dua kerajaan dan pelanggan swasta.

Dengan anggaran belanjawan sebanyak 10.6 bilion euro (AS$11.1 bilion), Iris² bertujuan untuk membolehkan komunikasi yang selamat bagi tujuan ketenteraan, pertahanan dan diplomatik.

Menurut Kesatuan Eropah, pemantauan, sambungan di kawasan terjejas bencana alam dan akses jalur lebar komersial adalah antara penggunaan lain yang berpotensi.

Pada Isnin, EU menandatangani konsesi selama 12 tahun untuk pelaksanaan projek ini dengan SpaceRISE, sebuah konsortium yang diketuai oleh Eutelsat dari Perancis, Hispasat dari Sepanyol dan SES dari Luxembourg.

Rakan kongsi lain termasuk OHB, Airbus Defence and Space, Telespazio, Deutsche Telekom, Orange dan Hisdesat.

Pesuruhjaya pertahanan dan ruang angkasa EU, Andrius Kubilius, memuji tandatangan tersebut sebagai pelancaran "visi Eropah yang lebih kuat, lebih terhubung, dan lebih berdaya tahan."

Katanya, “Iris² menunjukkan tekad dan komitmen Kesatuan untuk mengukuhkan kedudukan ruang angkasa global Eropah baik dari segi keselamatan dan daya saing demi manfaat kerajaan, perniagaan dan warganegara kami.”

Lebih separuh daripada belanjawan projek itu akan ditanggung oleh EU, dengan 4.1 bilion euro datang dari pelaburan swasta dan 550 juta euro dari Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Pelancaran itu datang ketika pasaran sambungan ruang angkasa berkelajuan tinggi, yang sangat berguna untuk melayani kawasan terpencil, menjadi sangat kompetitif.

Pada awal tahun ini, Starlink mendakwa telah melancarkan lebih daripada 6,000 satelit ke orbit, melayani 2.6 juta pelanggan.

Walaupun Iris² mengandalkan jumlah satelit yang lebih rendah, reka bentuk multi-orbitalnya meletakkannya setara dengan konstelasi kira-kira 1,000 satelit Starlink dari segi prestasi, kata pegawai EU.

Infrastruktur berasaskan bumi Iris² akan terletak eksklusif di Eropah dengan pusat kawalan di Luxembourg, Perancis dan Itali dan sistem tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.

Menurut kenyataan blok tersebut, “Program ini bukan sahaja menangani keperluan sambungan hari ini tetapi juga meletakkan asas bagi autonomi strategik Eropah dalam dunia digital.”

Iris² adalah projek ruang angkasa besar ketiga EU, selepas sistem navigasi satelit Galileo dan konstelasi satelit pemantauan Bumi Copernicus.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN