fb fb fb fb fb

Filipina sahkan perjanjian pertahanan utama dengan Jepun

Foto Fail Reuters

MANILA, 16 Disember – Filipina pada Isnin mengesahkan perjanjian pertahanan utama dengan Jepun yang membolehkan kedua-dua negara menempatkan tentera di wilayah masing-masing, dalam usaha memperkukuhkan hubungan bagi menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada China.

Kedua-dua negara, yang merupakan sekutu lama Amerika Syarikat, kini menyertai usaha memperluas rangkaian pakatan dalam usaha mengekang tuntutan wilayah China di rantau Pasifik.

Perjanjian tersebut, yang turut memperluas latihan tempur bersama, disahkan oleh Senat Filipina tanpa sebarang undian menentang atau berkecuali, menurut Presiden Senat, Francis Escudero.

Walau bagaimanapun, perjanjian itu masih memerlukan kelulusan Parlimen Jepun sebelum dapat dikuatkuasakan sepenuhnya, menurut Kedutaan Jepun di Filipina.

Dalam satu kenyataan, Senat Filipina menyatakan bahawa pengesahan perjanjian tersebut mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara dan menzahirkan komitmen bersama untuk menyumbang kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Perjanjian ini juga akan memperluas kerjasama pertahanan antara Filipina dan Jepun, khususnya dalam sektor maritim, di tengah-tengah cabaran keselamatan yang dikongsi bersama," tambah kenyataan itu.

Rundingan untuk memeterai perjanjian tersebut selesai pada Julai lalu selepas melalui tujuh bulan perbincangan.

Walaupun Jepun pernah menyerang Filipina semasa Perang Dunia Kedua, hubungan kedua-dua negara kini beralih kepada kerjasama ketenteraan yang kukuh bersama Amerika Syarikat, selain sama-sama menghadapi ketegangan dengan China.

Jepun, yang merupakan tempat kepada kira-kira 54,000 anggota tentera Amerika Syarikat beroperasi, turut berdepan pertikaian dengan China mengenai hak milik kepulauan yang kini berada di bawah kawalan Tokyo di Laut China Timur.

Di sisi lain, kapal-kapal Filipina dan China kerap kali bertembung di kawasan beting yang dirampas Beijing daripada Manila pada 2012.

Antara Filipina dan Jepun, Taiwan kini menjadi titik panas ketegangan.

Beijing menuntut pulau itu secara keseluruhan dan tidak menolak untuk menggunakan kekerasan bagi merealisasikan tuntutannya.

China juga mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya.

Laluan perdagangan strategik bernilai AS$5 trilion setiap tahun itu kekal menjadi punca ketegangan, meskipun keputusan undang-undang antarabangsa menyatakan tuntutan Beijing tiada asas sah.

Perjanjian ini diharap dapat memperkukuh kerjasama Filipina dan Jepun dalam menghadapi cabaran keselamatan bersama.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN