BANGKOK, 26 November – Angka korban akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand meningkat kepada 33 orang, menurut pegawai kanan kerajaan pada Rabu.
Banjir yang diakibatkan oleh hujan lebat berterusan itu turut menyebabkan kejadian tanah runtuh dan renjatan elektrik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian.
Rakaman yang disiarkan Thailand Public Broadcasting Service (TPBS) pada Selasa menunjukkan pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan kanak-kanak, warga emas serta membawa mayat mangsa banjir di tengah-tengah hujan lebat, manakala kenderaan dilihat tenggelam dalam air berlumpur di Hat Yai, pusat komersial utama wilayah selatan.
Hat Yai merupakan kawasan paling terjejas, dengan seorang pegawai kesihatan awam memaklumkan helikopter akan digerakkan bagi menghantar bekalan makanan serta memindahkan pesakit susulan tingkat bawah hospital kerajaan utama yang menempatkan 600 pesakit, termasuk kira-kira 50 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dinaiki air.
Bencana tersebut turut melanda sembilan wilayah di selatan Thailand serta lapan negeri di Malaysia, menenggelamkan ratusan kilometer kawasan daratan untuk tahun kedua berturut-turut, selain memaksa hampir 45,000 penduduk di kedua-dua negara berpindah ke lokasi lebih selamat. -REUTERS