fb fb fb fb fb

Nasib pangkalan tentera Rusia di Syria belum diputuskan - Kremlin

Pangkalan tentera Rusia di Syria / Foto Reuters

MOSCOW, 16 Disember – Nasib pangkalan tentera Rusia di Syria selepas penggulingan Bashar al-Assad masih belum jelas, kata Kremlin pada Ahad.

Pangkalan tentera laut Tartus dan pangkalan udara Hmeimim, yang merupakan satu-satunya pos ketenteraan Rusia di luar bekas Kesatuan Soviet, memainkan peranan penting dalam strategi Kremlin di Afrika dan Asia Barat.

Penggulingan sekutu lama Moscow, Assad, melalui serangan mengejut oleh kumpulan penentang, menimbulkan persoalan mengenai masa depan pangkalan tersebut.

“Belum ada keputusan muktamad mengenai perkara ini,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, kepada pemberita.

Menurut beliau, Rusia sedang berkomunikasi dengan wakil-wakil pihak yang kini mengawal situasi di Syria.

Kementerian Luar Rusia sebelum ini memaklumkan bahawa beberapa kakitangan diplomatiknya telah dipindahkan dari negara itu susulan perkembangan semasa.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN