fb fb fb fb fb

Seoul longgarkan sekatan, rakyat boleh baca Rodong Sinmun

Foto AFP

SEOUL, 2 Januari -Rakyat Korea Selatan kini dibenarkan mengakses akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun, di lokasi terpilih tanpa perlu mendapatkan kelulusan kerajaan.

Mulai minggu ini, orang ramai boleh membaca Rodong Sinmun di perpustakaan awam terpilih tanpa perlu mendaftar atau menyatakan tujuan bacaan, walaupun akses masih terhad kepada salinan fizikal.

Keputusan itu dibuat susulan langkah pentadbiran Presiden Lee Jae Myung untuk memperbaiki hubungan dengan Pyongyang.

Sebelum ini, akhbar yang dikenali sebagai “Akhbar Pekerja” itu diharamkan daripada dibaca oleh orang awam di Korea Selatan atas alasan keselamatan.

Bagaimanapun, bawah pendekatan Presiden Lee, sekatan itu kini dilonggarkan, dengan beliau menyatakan bahawa membaca akhbar berkenaan tidak akan menjadikan rakyat Korea Selatan “komunis”.

Korea Selatan dan Korea Utara secara teknikalnya masih berperang, dan sekatan ke atas propaganda Pyongyang telah lama dikuatkuasakan.

Walaupun akses fizikal kepada Rodong Sinmun kini dibenarkan secara terhad, laman web media Korea Utara masih tidak boleh diakses dari alamat IP Korea Selatan.

Pakar Korea Utara, Chad O’Carroll, menyifatkan langkah itu sebagai lebih bersifat simbolik dan berkata akses kepada laman web media rasmi Korea Utara akan jauh lebih membantu pengkaji, namun memerlukan perubahan undang-undang keselamatan yang rumit. - AFP

TETITIA YUSOFF