fb fb fb fb fb

Mahkamah Korea Selatan keluarkan waran tangkap baharu terhadap Yoon Suk Yeol

Bekas presiden Yoon Suk Yeol/REUTERS

SEOUL, 2 Januari -Sebuah mahkamah Korea Selatan pada Jumaat mengeluarkan waran tangkap baharu terhadap bekas presiden Yoon Suk Yeol.

Tindakan itu sekali gus melanjutkan tempoh penahanannya ketika beliau berdepan pertuduhan berkaitan cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera pada 2024.

Pendakwa raya mendakwa Yoon pada November lalu atas beberapa pertuduhan termasuk membantu musuh, dengan mendakwa beliau mengarahkan penerbangan dron ke atas Korea Utara bagi mengukuhkan usahanya untuk melaksanakan pemerintahan tentera.

Waran tangkap bagi kes tersebut sepatutnya tamat pada 18 Januari ini, namun perintah terbaharu mahkamah melanjutkan tempoh penahanan itu sehingga maksimum enam bulan.

Seorang pegawai Mahkamah Daerah Pusat Seoul memberitahu AFP bahawa waran berkenaan dikeluarkan berikutan kebimbangan Yoon berkemungkinan memusnahkan bukti.

Yoon telah berada dalam tahanan selama beberapa bulan ketika beberapa perbicaraan jenayah terhadapnya sedang berlangsung.

Beliau sebelum ini menggantung pemerintahan awam secara singkat pada 3 Disember 2024, tindakan yang mencetuskan bantahan besar-besaran serta pertembungan politik di parlimen.

Yoon kemudiannya disingkirkan secara rasmi daripada jawatan presiden pada April lalu.

Yoon menjadi presiden pertama Korea Selatan yang ditahan ketika masih memegang jawatan apabila beliau ditahan pada Januari tahun lalu selepas berminggu-minggu menentang penahanan, termasuk menggunakan pasukan keselamatan presiden untuk menghalang pihak berkuasa.

Beliau dibebaskan pada Mac atas alasan prosedur ketika perbicaraan kes pemberontakan masih berjalan, namun ditahan semula pada Julai susulan kebimbangan beliau mungkin memusnahkan bukti berkaitan kes berkenaan.

Pendakwa raya turut menuntut hukuman penjara selama 10 tahun terhadap Yoon atas pertuduhan menghalang keadilan. Mahkamah Seoul dijangka menyampaikan keputusan bagi kes itu pada 16 Januari ini. - AFP

TETITIA YUSOFF