fb fb fb fb fb

Kediaman bertingkat di Hong Kong hangus, 4 maut

Foto REUTERS

HONG KONG, 27 November – Empat mangsa disahkan maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan beberapa bangunan kediaman bertingkat di kawasan Tai Po, utara Hong Kong, pada Rabu.

Penyiar awam RTHK yang memetik kenyataan polis melaporkan beberapa individu masih terperangkap, manakala dua mangsa dilaporkan kritikal akibat melecur teruk.

Beberapa anggota bomba turut cedera ketika bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang merebak dengan pantas di bangunan setinggi 31 tingkat itu.

Kepulan asap tebal dilihat ketika pasukan kecemasan giat memadamkan api.

Jabatan Bomba Hong Kong memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 petang waktu tempatan mengenai kebakaran di Wang Fuk Court, sebelum menaikkan amaran insiden itu kepada tahap No. 4 pada pukul 3.34 petang.

Wang Fuk Court merupakan kompleks perumahan yang terdiri daripada lapan blok, mempunyai hampir 2,000 unit kediaman.

Sementara itu, seorang penduduk, Harry Cheung, 66 tahun berkata kira-kira pukul 2.45 petang kedengaran bunyi kuat sebelum beliau menyedari salah satu blok kediaman itu terbakar. Dia berada di luar bangunan lebih tiga jam selepas mengemas barangan dan meninggalkan rumahnya.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN