MUNICH, 18 Februari - Pelaksanaan gencatan senjata di Rafah, Selatan Gaza semakin sukar dilakukan.
Ini selepas negara haram Israel dengan angkuh menolak permintaan dunia untuk menghentikan serangan di tempat perlindungan terakhir rakyat Palestin itu.
Perkembangan terbaharu tersebut, dimaklumkan negara pengantara Qatar melalui Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani pada Persidangan Keselamatan, di sini.
"Corak dalam beberapa hari kebelakangan ini sebenarnya tidak begitu menjanjikan, tetapi, seperti yang selalu saya ulangi, kami akan sentiasa optimis dan akan sentiasa mendesak," kata Sheikh Mohammed.
Sheikh Mohammed, yang juga Menteri Luar Negeri, berkata beliau tidak dapat mengetahui butiran rundingan itu, namun seperti perjanjian lalu, terdapat dua elemen iaitu keadaan kemanusiaan di Gaza dan bilangan penduduk Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran tebusan yang dipegang Hamas.
"Saya percaya pada perjanjian ini, kita bercakap dalam skala yang lebih besar, dan kita masih melihat beberapa kesukaran dalam bahagian kemanusiaan rundingan ini," katanya.
Sheikh Mohammed menambah bahawa beliau berpendapat bahawa jika rundingan mengenai elemen kemanusiaan bagi mana-mana perjanjian berjalan, maka halangan terhadap bilangan mereka yang dibebaskan akan dapat diatasi akhirnya.
Rundingan yang melibatkan pegawai dari Qatar, Mesir, Israel, dan Amerika Syarikat setakat ini tidak membuahkan perjanjian untuk menghentikan pertempuran.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua negara haram Israel, Netanyahu menegaskan tiada sebarang rundingan boleh dibuat selagi pejuang Hamas tidak mengubah tuntutan mereka.
Katanya, tuntutan Hamas adalah sesuatu yang 'tidak masuk akal'
Hamas sebelum ini menegaskan, pihaknya bersetuju untuk gencatan senjata yang menyeluruh dan lengkap di Gaza, selain menuntut Israel membebaskan tawanan Palestin seramai mungkin.-REUTERS