JERMAN, 18 Februari - Menteri Luar China, Wang Yi menggesa agar usaha menjadikan Palestin sebuah negara yang merdeka, dipercepatkan.
Ini bagi membolehkan keamanan dapat dicapai secepat mungkin, menerusi penyelesaian dua negara.
Wang Yi menyatakan pendiriannya itu semasa berucap dihadapan pemimpin dunia pada Persidangan Keselamatan Munich, di sini.
Dengan ketegangan yang berlaku di antara Palestin dan negara haram Israel, kemudian merebak di Laut Merah, membuktikan isu Palestin menjadi 'jantung' kepada konflik di Asia Barat.
Penduduk Palestin yang telah dipindahkan sudah memasuki beberapa generasi namun sehingga kini mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ini adalah bentuk ketidakadilan yang paling lama dalam sejarah era moden.
Berpegang pada prinsip keadilan dan ekuiti, Beijing terlibat dalam urusan diplomasi untuk memastikan gencatan senjata segera dilaksana, sekali gus menghentikan keganasan khususnya terhadap orang awam.-REUTERS