fb fb fb fb fb

UNSC undi draf resolusi baharu gencatan senjata segera di Gaza

FOTO REUTERS

NEW YORK, 25 Mac- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengundi hari ini mengenai draf resolusi baharu mengenai gencatan senjata segera di Gaza, selepas Rusia dan China memveto teks awal yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

Majlis itu berbelah bahagi berhubung konflik Israel-Palestin sejak serangan pada 7 Oktober lalu dan hanya meluluskan dua daripada lapan resolusi, kedua-duanya berkaitan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

 Amerika Syarikat sebagai Ahli Majlis Tetap dan penyokong utama Israel telah menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri berikutan serangan mengejut Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun, dengan krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing, AS terpaksa meredakan semula sokongannya kepada Israel berhubung tindakannya memerangi kumpulan Hamas.

Jumaat lalu, UNSC mengundi draf yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat yang menggesa gencatan senjata "segera" dikaitkan dengan pembebasan tebusan.

Bagaimanapun, China dan Rusia memveto resolusi itu, dengan mengkritiknya kerana tidak menuntut secara jelas agar Israel menghentikan operasi ketenteraan yang dirancang di Rafah yang disifatkan boleh membawa musibah amat teruk.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas melaporkan penduduk Palestin yang terkorban berjumlah 32,226 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Kementerian itu berkata seramai 72 orang terbunuh pada awal pagi Ahad, termasuk sekurang-kurangnya 26 terbunuh dalam serangan udara ke atas lima rumah di bandar selatan Rafah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN