fb fb fb fb fb

5 orang maut, 1,000 rumah musnah, gempa bumi di Papua New Guinea

Lima orang maut, 1,000 rumah musnah, gempa bumi di Papua New Guinea/AFP

PORT MORESBY, 25 Mac- Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan dianggarkan 1,000 rumah musnah selepas gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter menggegarkan utara Papua New Guinea (PNG).

Gabenor Sepik Timur Allan Bird berkata pasukan kecemasan masih menilai kesan gegaran yang merosakkan kebanyakan bahagian di wilayah itu.

Berpuluh-puluh kampung yang terletak di tebing Sungai Sepik di negara itu sedang berhadapan dengan banjir besar apabila gempa melanda pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Christopher Tamari memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa telah merekodkan lima kematian. Bagaimanapun, jumlah kematian dijangka meningkat.

Beberapa gambar yang dirakam menunjukkan rumah-rumah kayu yang rosak tenggelam ke dalam air banjir setinggi paras lutut. 

Papua New Guinea terletak di zon 'Lingkaran Api Pasifik' iaitu kebanyakan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi berlaku.

Walaupun gempa jarang melibatkan kerosakan yang teruk di kawasan tanah tinggi dan hutan yang mempunyai kurang penduduk, bencana itu boleh mengakibatkan tanah runtuh.

Kebanyakan penduduk negara pulau itu tinggal di luar bandar dan bandar utama, keadaan muka bumi dan jalan raya yang terhad menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.-AFP

ROSLINA BINTI DIN