fb fb fb fb fb

UNSC tamatkan misi keselamatan PBB di Sudan

Pemimpin Sudan, Abdel-Fattah Al-Burhan, pada September 2023, telah meminta PBB untuk menamatkan misi politik di negaranya berkuat kuasa serta-merta/ AFP

NEW YORK, 2 Disember- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), semalam mengakhiri misi keselamatan di Sudan atas permintaan pihak berkuasa negara yang sedang bergolak tujuh bulan, angkara dua jeneral yang bertelagah.

Susulan surat daripada Khartoum menuntut Misi Bantuan Peralihan Bersepadu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNITAMS) dihentikan serta-merta, UNSC menerima resolusi untuk menamatkan mandat itu esok.

Bermula Isnin, tempoh peralihan selama tiga bulan akan bermula untuk membolehkan kakitangan UNITAMS meninggalkan negara itu dan memindahkan tugasnya kepada agensi PBB yang lain 'jika sesuai dan setakat yang dibolehkan'.

Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, bulan lalu misi PBB di Sudan menggaji seramai 245 orang, termasuk 88 individu di Pelabuhan Sudan, bakinya di Nairobi dan Addis Ababa.

Sebanyak 14 daripada 15 ahli UNSC menerima pakai resolusi itu, manakala Rusia berkecuali.

"Biar saya jelaskan, United Kingdom (UK) tidak akan memilih untuk menutup UNITAMS pada masa ini," kata Timbalan Utusan PBB Britain, James Kariuki, yang mana negaranya merangka teks berkenaan.

Utusan Amerika Syarikat (AS), Robert Wood, pula menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kekejaman dengan akibat buruk bagi orang awam sekiranya kehadiran pihak antarabangsa berkurangan di Sudan.

UNSC, dalam teks kenyataannya, menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan, krisis kemanusiaan dan pencabulan yang berterusan, khususnya pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia yang serius di Sudan.

Pengarah Pemerhati Hak Kemanusian PBB, Louis Charbonneau, dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu 'adalah kemuncak kepada penyingkiran tanggungjawab yang dahsyat terhadap orang awam Sudan terutama sewaktu risiko kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia berskala besar dan lebih besar daripada sebelumnya'.

UNITAMS ditubuhkan pada 2020 untuk membantu menyokong peralihan demokrasi di Sudan berikutan kejatuhan otokrat Islam veteran Omar al-Bashir, pada tahun sebelumnya apabila berdepan tekanan daripada kedua-dua protes tentera dan orang ramai.

Namun pada Oktober 2021, laluan sukar untuk kerajaan awam ditubuhkan apabila Ketua Tentera, Abdel Fattah al-Burhan mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa.

Pada 15 April, sebelum perjanjian untuk menyambung semula peralihan kepada demokrasi dapat ditandatangani, pertempuran meletus antara tentera Sudan yang diketuai oleh Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), kumpulan separa tentera yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Daglo. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI