fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan bakar diri di luar konsulat Israel di Atlanta

Atlanta telah menyaksikan pelbagai protes sejak permulaan perang Israel-Hamas/ AFP

ATLANTA, 2 Disember- Seorang penunjuk perasaan dengan bendera Palestin membakar diri semalam di luar konsulat Israel di Atlanta, kata pihak berkuasa.

Individu itu yang tidak dikenal pasti oleh pegawai, berada dalam keadaan kritikal, kata Ketua Polis Darin Schierbaum pada sidang akhbar.

Seorang pengawal keselamatan yang cuba menghalang turut tercedera.

"Kami percaya bangunan ini kekal selamat, dan kami tidak nampak sebarang ancaman di sini," kata ketua itu. "Kami percaya itu adalah tindakan protes politik yang melampau," katanya.

Penunjuk perasaan itu tiba sekitar 12.17 tengah hari di bangunan pejabat, yang menempatkan konsulat serta beberapa perniagaan, dan menggunakan petrol, kata polis.

"Kami sedih mengetahui tentang pembakaran diri di pintu masuk ke bangunan pejabat," kata konsul jeneral Israel ke tenggara AS, Anat Sultan-Dadon, kepada ABC News.

“Adalah tragis melihat kebencian dan hasutan terhadap Israel diluahkan dengan cara yang begitu mengerikan. Kesucian hidup adalah nilai tertinggi kami," katanya.

Israel menyambung semula serangan tenteranya di Gaza semalam selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata selama seminggu gagal.

Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas kumpulan pejuang itu dikatakan menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Lebih daripada 15,000 penduduk Gaza telah terbunuh semasa serangan Israel, kata pegawai Palestin, yang telah memusnahkan sebahagian besar kawasan itu.

Konflik itu telah mencetuskan ratusan protes dan perhimpunan di seluruh AS, baik untuk menyokong rakyat Palestin dan juga Israel.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI