fb fb fb fb fb

AS, Israel bekerjasama lindungi orang awam di selatan Gaza

FOTO REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 2 Disember- Amerika Syarikat (AS) sedang melaksanakan rancangan dengan Israel untuk meminimumkan risiko terhadap orang awam dalam setiap operasi ketenteraan di selatan Gaza, kata seorang pegawai kanan AS, sewaktu tentera zionis meneruskan pengeboman ke atas wilayah.

Kerajaan Israel juga bersetuju sebarang operasi di selatan tidak akan kelihatan seperti yang dilakukan di utara dan tenteranya akan menetapkan kawasan di mana orang awam tidak akan dicederakan.

Pegawai itu berkata demikian selepas lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke wilayah itu, tempat diplomat tertinggi Washington bertemu dengan pegawai Israel.

Pegawai itu berkata, AS menjangkakan tidak akan ada serangan besar-besaran ke atas Khan Younis dan Rafah seperti yang berlaku di Kota Gaza.

Beliau berkata, Washington juga menggesa Israel untuk mengecilkan zon pertempuran dan menjelaskan di mana orang awam Palestin boleh mendapatkan keselamatan di selatan Gaza.

Dia yang enggan dikenali berkata, seluruh kawasan kejiranan di selatan Gaza akan ditetapkan sebagai zon dekonflik yang selamat untuk orang awam, walaupun sesetengahnya mungkin masih perlu meninggalkan rumah mereka jik berada di kawasan pejuang Hamas bersembunyi.

AS juga akan terus berbincang dengan Israel mengenai cara melaksanakan langkah itu.

Menurut pakar perubatan dan saksi, pengeboman pada semalam adalah paling hebat di Khan Younis dan Rafah di selatan,manakala ratusan ribu penduduk Gaza juga berada di situ disebabkan pertempuran di utara.

Israel juga mengeluarkan pautan menghubungkan peta yang menunjukkan Gaza dibahagikan kepada ratusan daerah, yang dikatakan akan digunakan pada masa hadapan untuk menyatakan kawasan mana yang selamat.

Blinken, kelmarin memberitahu Netanyahu bahawa operasi ketenteraan Israel di selatan Gaza tidak boleh mengulangi tragedi kehilangan besar nyawa orang awam dan perpindahan yang berlaku sewaktu serangan di utara. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI