fb fb fb fb fb

UNHCR gesa Indonesia terima pelarian Rohingya terkandas di laut Aceh

Foto AFP

JAKARTA, 23 Oktober – Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) menggesa kerajaan Indonesia untuk membenarkan kira-kira 150 pelarian Rohingya yang terkandas di luar pantai Aceh selama hampir seminggu untuk mendarat.

Menurut ketua komuniti nelayan di pelabuhan Labuhan Haji, Aceh Selatan, Muhammad Jabal, dua orang di atas kapal tersebut telah meninggal dunia, manakala 11 orang lagi termasuk seorang wanita hamil telah dipindahkan ke hospital tempatan.

Nelayan yang menemukan kapal tersebut pada Khamis lalu berkata bahawa kanak-kanak di atas kapal meminta makanan dan air selepas berminggu-minggu hanyut di laut.

"Kami membawa roti dan air kepada mereka, keadaan mereka sangat membimbangkan," kata Jabal kepada Reuters.

Jurucakap UNHCR, Mitra Salima Suryono, menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan kumpulan minoriti Rohingya, yang menghadapi penganiayaan di Myanmar, untuk mendarat dengan selamat. "Keutamaan kami adalah keselamatan Rohingya di atas kapal," ujarnya.

Media tempatan, Detik.com, melaporkan jurucakap polis wilayah, Joko Krisdiyanto, berkata kapal tersebut berlepas dari Cox's Bazar di Bangladesh sebelum menuju ke Kepulauan Andaman dan seterusnya ke Aceh pada pertengahan Oktober.

Polis mengesyaki kegiatan pemerdagangan manusia, apabila Rohingya diminta membayar sebelum diangkut ke Indonesia dimana tiga warga Indonesia telah ditahan oleh polis Aceh.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN