fb fb fb fb fb

Individu menyamar hakim ditahan di India

Foto AFP

AHMEDABAD, 23 Oktober - Polis India telah menahan seorang individu yang didakwa menyamar sebagai hakim selama hampir lima tahun, mengendalikan pelbagai pertikaian di sebuah tribunal palsu yang ditubuhkannya sendiri.

Morris Samuel Christian menjanjikan keputusan segera bagi pertikaian tanah kepada penduduk di negeri Gujarat dengan bayaran yang tinggi, sambil mengendalikan kes-kes di sebuah pejabat yang dihias menyerupai mahkamah sebenar, menurut satu dokumen yang dikeluarkan oleh seorang hakim tempatan.

Christian, yang berusia dalam lingkungan 40-an, hadir di mahkamah sebenar pada Selasa atas tuduhan menyamar, menipu, pemalsuan menurut laporan India Today.

Penipuan tersebut terbongkar apabila seorang penduduk di bandar Ahmedabad membawa kes pertukaran tanah bernilai satu bilion dolar ke mahkamah sebenar.

"(Christian) mencipta sebuah tribunal palsu... mencipta suasana seperti mahkamah dengan menempatkan peguam, berlagak seperti seorang hakim... dan menjadikan keseluruhan proses kelihatan seperti prosiding mahkamah yang sebenar," kata Hakim Mahkamah Bandar Ahmedabad, J. L. Chovatiya dalam satu kenyataan.

Ini bukan kali pertama Christian berhadapan dengan pihak berkuasa.

Beliau pernah dipenjarakan selama tiga bulan pada tahun 2007 kerana berlatih sebagai peguam walaupun majlis peguam negeri menyatakan bahawa beliau tidak memiliki Ijazah Undang-Undang yang sah.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN