fb fb fb fb fb

Menteri Luar Jerman beri amaran Lubnan 'diambang kemusnahan'

Annalena Baerbock / Foto AFP

BEIRUT, 23 Oktober - Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock memberi amaran bahawa "Lubnan berada diambang kemusnahan" semasa lawatan beliau ke negara yang dilanda konflik itu.

Ketika Israel berdepan dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan, Baerbock menekankan bahawa "sebarang serangan sengaja ke atas pasukan pengaman PBB melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa."

“Keadaan kemanusiaan di Lubnan semakin kritikal setiap hari,” ujar Baerbock pada permulaan lawatan, yang tidak diumumkan terlebih dahulu atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut beliau, ratusan ribu orang kini melarikan diri, manakala hospital beroperasi pada kapasiti penuh dan kanak-kanak pula terpisah daripada ibu bapa. "Lubnan hampir runtuh," tambahnya.

Beliau turut menuduh Hezbollah, sekutu Hamas, “bersembunyi di belakang orang awam dan terus melancarkan roket ke arah Israel.”

Namun, Baerbock juga memberi peringatan bahawa Israel mesti beroperasi mengikut “batas sempit hak mempertahankan diri dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) sebelum ini menuduh Israel menyerang anggota mereka beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Semua pihak dalam konflik perlu melindungi pasukan pengaman PBB,” katanya, sambil menekankan pentingnya kehadiran pasukan UNIFIL dalam usaha mencapai penyelesaian politik.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN