MANILA, 23 Oktober – Pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat Taufan Tropika Trami, yang telah mengorbankan tujuh orang dan menyebabkan ribuan orang dipindahkan.
Hujan lebat yang dibawa oleh taufan itu telah menukarkan jalan raya menjadi sungai, menenggelamkan kampung-kampung dan menimbus beberapa kenderaan dengan sedimen gunung berapi.
Sekurang-kurangnya 32,000 orang telah meninggalkan kediaman mereka di utara Filipina, kata pihak polis, ketika taufan tersebut menghampiri pulau utama Luzon.
Di wilayah Bicol, kira-kira 400 kilometer di tenggara Manila, banjir tinggi menyukarkan usaha penyelamatan. "Pasukan penyelamat polis menghadapi kesukaran memasuki beberapa kawasan kerana banjir dan arus kuat," kata jurucakap polis wilayah, Luisa Calubaquib.
Seorang mangsa lemas dalam bas yang dihanyutkan banjir di Naga, Bicol, di mana tiga mangsa lagi turut lemas.
Seorang wanita warga emas lemas di wilayah Quezon, manakala seorang kanak-kanak terkorban setelah terjatuh ke dalam terusan yang banjir.
Di Manila, seorang lagi mangsa maut akibat dihempap dahan pokok.
Taufan Trami dijangka melanda pantai timur laut berhampiran bandar Divilacan pada pukul 11 malam ini.-AFP