fb fb fb fb fb

Undi tidak percaya: Perdana Menteri Perancis dijangka letak jawatan

Perdana Menteri Perancis, Michel Barnier / Foto REUTERS

PARIS, 5 Disember-Perdana Menteri Perancis, Michel Barnier, dijangka meletakkan jawatan pada Khamis selepas ahli parlimen dari blok sayap kiri dan kanan mengundi untuk menjatuhkan kerajaannya.

Perkembangan tersebut mencetuskan krisis politik kali kedua dalam tempoh enam bulan, sekali gus mencatatkan satu lagi detik hitam buat Perancis.

Barnier, yang pernah menjadi perunding Brexit Kesatuan Eropah, (EU) bakal menjadi Perdana Menteri Perancis paling singkat dalam sejarah negara itu memegang jawatan.

Setakat ini, tiada kerajaan Perancis yang kalah dalam undian tidak percaya sejak pentadbiran Georges Pompidou pada 1962.

Keputusan undian tersebut menyusuli kemarahan terhadap belanjawan kontroversi yang diluluskan tanpa undian di parlimen yang tergantung.

Belanjawan tersebut mengusulkan penjimatan sebanyak 60 bilion euro (AS$63.07 bilion) bagi mengurangkan defisit negara yang semakin memburuk.

Parti sayap kanan Marine Le Pen, National Rally, mengkritik belanjawan itu sebagai terlalu membebankan rakyat yang bekerja.

Ketegangan selama berminggu-minggu itu melemahkan lagi kedudukan Presiden Emmanuel Macron, yang turut dikritik kerana membuat keputusan tidak bijak dengan mengadakan pilihan raya mengejut sebelum Sukan Olimpik Paris musim panas lalu.

Macron kini berdepan tekanan semakin hebat untuk meletakkan jawatan, tetapi mandatnya sebagai presiden sehingga 2027 melindunginya daripada dipaksa berundur. Namun, krisis terbaharu menjadikan beliau semakin kehilangan pengaruh.

Dengan ketiadaan kerajaan yang stabil dan belanjawan 2025 yang belum diluluskan, Perancis menghadapi risiko ketidakstabilan politik yang serius.

Meskipun perlembagaan Perancis membenarkan langkah-langkah khas untuk mengelak “penutupan kerajaan” seperti di Amerika Syarikat, situasi berkenaan tetap membimbangkan para pelabur.

Krisis itu turut memberi kesan kepada Kesatuan Eropah yang sudah bergelut dengan keruntuhan kerajaan gabungan Jerman.

Tambahan pula, ia hanya beberapa minggu sebelum Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump, kembali ke White House.

Trump dijadualkan melawat Paris pada hari Sabtu untuk menyaksikan pelancaran semula biara Notre Dame yang telah dibaik pulih.

Macron dilaporkan berhasrat melantik Perdana menteri baharu sebelum lawatan tersebut.

Sementara itu, kos pinjaman kerajaan Perancis baru-baru ini melonjak lebih tinggi daripada Greece, negara yang biasanya dianggap lebih berisiko.

Mana-mana Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu berdepan cabaran sama seperti Barnier, terutamanya untuk mendapatkan sokongan parlimen bagi meluluskan rang undang-undang, termasuk belanjawan 2025.

Pilihan raya parlimen baharu tidak dapat diadakan sebelum Julai tahun depan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD