BOGOTA, 5 Disember-Menteri Kewangan Colombia, Ricardo Bonilla, meletakkan jawatan atas permintaan Presiden Gustavo Petro pada Rabu, selepas tuduhan bahawa beliau menutup mata terhadap rasuah ahli parlimen negara berkenaan.
Seorang bekas penasihat kerajaan Colombia minggu lalu, mendakwa Bonilla mengetahui tentang sogokan kepada ahli parlimen bagi menyokong program reformasi utama yang dijanjikan oleh Petro.
Pejabat Peguam Negara turut menuduh sogokan itu dibayar menggunakan dana awam berjumlah AS$200,000.
Bonilla bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Dalam satu sidang akhbar, Petro mengumumkan bahawa Bonilla akan digantikan oleh timbalannya, Diego Guevara.
Petro berkata kepada pemberita bahawa beliau meminta Bonilla meletakkan jawatan bukan kerana percaya dia bersalah, tetapi kerana mereka mahu menghancurkannya atas kesetiaannya kepada Petro.
Skandal rasuah besar -besaran tersebut telah melibatkan ramai pegawai atasan kerajaan serta ahli parlimen daripada parti pemerintah dan pembangkang.
Pada Julai lalu, ketua perisikan negara, yang juga sekutu rapat Petro, turut meletakkan jawatan selepas pendakwa raya mendakwa beliau terlibat dalam pengawasan pembayaran sogokan kepada pemimpin parlimen untuk mempercepatkan kelulusan rang undang-undang.
Petro, yang memegang jawatan Presiden pada 2022 dengan agenda reformasi sosial yang berani, kini berdepan tekanan besar akibat pendedahan skandal tersebut.-AFP