fb fb fb fb fb

Undi awal Pemilihan Presiden Korea Selatan di tengah lonjakan COVID-19

(Foto AFP)

SEOUL, 4 Mac- Korea Selatan mula melaksanakan pengundian awal bagi pilihan raya presiden hari ini dengan dibayangi pandemik berikutan sehingga sejuta pengundi dengan COVID-19 dijangka mengundi ketika lonjakan kes direkodkan di negara itu.

Petugas pilihan raya dibekalkan peralatan perlindungan diri termasuk sut, cermin mata keselamatan sementara pengundi pula perlu menggunakan cecair sanitasi serta memakai sarung tangan, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

Lebih 800,000 pengundi adalah mereka yang diperintahkan duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19 dan hampir 800 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi.

Mereka yang dijangkiti atau sedang menjalani kuarantin dibenarkan hadir dengan menaiki teksi atau ambulans yang disediakan kerajaan tempatan untuk ke pusat pengundian bagi mengundi menerusi saluran isolasi.

Sebelum ini Korea Selatan antara negara yang menyerlah dengan pendekatannya agresif membendung penularan COVID-19 menerusi ujian agresif dan pengesanan kontak.

Walaupun pengurusan pandemik negara bukan fokus utama kempen, lonjakan kes disebabkan varian omicron pada minggu lalu menjejaskan proses mengundi calon berikutan lonjakan kes ke paras tertinggi.

Pemilihan itu bagi menggantikan Presiden Moon Jae-in yang tidak lagi dapat bertanding semula berikutan had penggal pemerintahan.

Yoon Suk-yeol mendapat kelebihan apabila seorang rakan konservatif, Ahn Cheol-soo menarik diri dan memberikan sokongannya kepada Yoon.

Parti pemerintah Moon diwakili oleh Lee Jae-myung.

 

(Penyokong calon presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung ketika kempen pilihan raya di Seoul/Foto AFP)



Ahn Cheol-soo, calon presiden untuk parti politik ketiga terbesar Korea Selatan itu mengisytiharkan sokongan yang dianggap satu langkah mengejut.

Dengan hanya tinggal enam hari sebelum pengundian pada 9 Mac, Yoon merapatkan cabaran menentang Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik.

Tinjauan pendapat membayangkan kemenangan yang meyakinkan jika Yoon dan Ahn bersatu, walaupun tidak jelas sama ada semua penyokong Ahn akan memberikan sokongan sama.

Korea Selatan mengadakan Pilihan Raya Kebangsaan pada 2020 dan Pilihan Raya Wilayah tahun lalu, dengan pengundi yang dijangkiti dikehendaki menghantar kertas undi mereka atau menggunakan pusat pengundian khas di hospital.

Ketika itu jangkitan harian COVID-19 adalah dalam lingkungan ratusan dan direkodkan sebagai jumlah tertinggi pada ketika itu.

Bagaimanapun pada minggu ini jumlah kes melepasi 200,000 kes.

Walaupun berdepan lonjakan kes, Korea Selatan menarik balik sebahagian sekatan dalam beberapa hari ini dan menggantung penggunaan skim pengesanan digital yang terbukti berkesan dalam membendung virus itu. -REUTERS

Media Baharu